Sedekah, amalan yang mampu dibuat oleh sesiapa sahaja



​​


Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





 

BERAKAS, Selasa, 14 Oktober. - Forum sempena Majlis Ilmu 2025 bagi Daerah Brunei dan Muara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun telah diadakan di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.


Hadir selaku tetamu kehormat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.


Forum sempena Majlis Ilmu 2025 di Daerah Brunei dan Muara bertajuk 'Sedekah: Amalan Mampu Milik Semua' memberi penekanan dan penerangan mengenai jenis-jenis sedekah melalui kupasan hadith 26 dari hadith 40 Imam Nawawi.


Semasa forum itu, para ahli panel juga mengetengahkan bahawa amalan sedekah tidak terhad hanya kepada orang yang mempunyai harta atau wang ringgit sahaja, malah amalan sedekah adalah amalan yang mampu dibuat dan boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja.


Forum tersebut dipengerusikan oleh Penolong Kanan Profesor dan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Azme bin Haji Matali bersama tiga orang ahli panel iaitu Pensyarah UNISSA, Dr. Seri Ramizah binti Matussin; Penolong Ketua Buhuth, Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Mohamad Sofian bin Awang Tengah; dan Pegawai Ugama Pusat Da'wah Islamiah, Awang Mohammad Nasyith bin Superi.


Turut hadir ialah Ahli-Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, juga Penghulu Mukim Lumapas; Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong, juga Ketua Kampung Lumapas 'B'; Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok; Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat dan Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing.


Juga hadir, Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Seminar Majlis Ilmu 2025, Pengarah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad selaku Ketua Urusetia Jawatankuasa Seminar Majlis Ilmu, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, ketua-ketua jabatan dan bahagian; pegawai - pegawai kanan; pegawai dan kakitangan kerajaan; para jemputan khas; Penghulu Mukim, Ketua Kampung serta Majlis Perundingan Kampung; belia-belia masjid, muslimah; pihak swasta; pensyarah - pensyarah serta penuntut-penuntut dari institut pengajian tinggi.


Forum mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih 400 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pegawai kerajaan, belia, ahli akademik dan masyarakat setempat.


Close